Peniaga didenda gagal lapor pendapatan pada LHDN

Peniaga didenda gagal lapor pendapatan pada LHDN

KOTA BHARU – Seorang pemilik kedai cermin mata di sebuah pusat membeli belah, di sini, didenda RM12,500 mahkamah majistret, di sini, hari ini ke atas empat tuduhan tidak melaporkan pendapatan syarikat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Majistret Ahmad ‘Adha Amir Yaseer Amri turut memerintahkan tertuduh, Raja Anuar Raja Mansor, 42, membayar penalti khas berjumlah RM265,310.78 selain membayar cukai tambahan RM132,655.85 kepada LHDN selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kesalahan empat tahun berturut-turut itu.

Raja Anuar didakwa pada empat tuduhan masing-masing tidak melaporkan pendapatan yuran pengurusan yang diperoleh dari Syarikat Idaman Sigma Sdn Bhd dengan jumlah keseluruhan RM577,786 yang boleh dikenakan cukai tambahan RM132,655.85 pada borang nyata cukai pendapatan individu (BE) Tahun Taksiran 2007, 2008, 2009 dan 2010.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan hendaklah membayar penalti  khas sebayak dua kali ganda amaun cukai yang dikenakan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Peguam Kanan Hasil LHDN, Norzilah Abd Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Norzilah memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat atas alasan tertuduh melakukan kesalahan tersebut dalam tempoh empat tahun berturut-turut sejak 2007.Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya merayu supaya hukumannya diringankan selain memohon tempoh bayaran balik yang lebih panjang.

Ahmad Adha kemudian memerintahkan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya denda gagal dijelaskan, sebaliknya tertuduh melunaskan denda itu.

SUMBER DAN GAMBAR DARI SINAR HARIAN.