PENGENALAN
Perkongsian Liabiliti Terhad (LIMITED LIABILITY PARTNERSHIP) merupakan satu bentuk perniagaan alternatif untuk menjalankan perniagaan yang menggabungkan ciri-ciri sebuah syarikat persendirian dan perkongsian konvensional. Perkongsian Liabiliti Terhad memberikan status liabiliti terhad kepada rakan-rakan dan menawarkan fleksibiliti perkiraan dalaman melalui perjanjian antara rakan kongsi.
Gabungan ini akan memberikan usahawan dan ahli perniagaan satu bentuk perniagaan yang lebih tersusun berbanding dengan perniagaan tunggal atau perkongsian konvensional.
Ia menyediakan fleksibiliti mengawal operasi perniagaan mengikut Perjanjian Perkongsian, disamping menikmati status liabiliti terhad berbanding dengan syarikat yang tertakluk kepada keperluan pematuhan yang ketat di bawah Akta Syarikat 1965 dalam kebanyakan hal ehwalnya.
PLT telah juga diperkenalkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat , United Kingdom, Singapura, India dan Jepun sebagai satu bentuk perniagaan alternatif.
CIRI-CIRI PERNIAGAAN PLT
1. PLT ialah suatu pertubuhan perbadanan dan mempunyai undang-undang yang berasingan daripada pekongsinya (entiti berasingan).
2. PLT kekal turun temurun (perpetual succession).
3. Apa-apa perubahan berhubung dengan rakan-rakan daripada PLT tidak akan mengubah kewujudan, hak atau liabiliti PLT.
4. PLT mempunyai kapasiti yang tidak terhad dan mampu mendakwa dan didakwa, memperoleh, memiliki, memegang dan membangunkan atau melupuskan harta.
PERBEZAAN PLT DAN PERKONGSIAN UMUM
PLT menawarkan liabiliti terhad kepada rakan kongsinya di mana apa-apa hutang dan obligasi PLT akan ditanggung oleh aset PLT. Dalam perniagaan Perkongsian konvensional, rakan-rakan kongsi bersama akan menanggung hutang.
PERBEZAAN PLT DAN SYARIKAT
1. Tiada saham terbitan.
2. Fleksibel dalam membuat keputusan.
3. Tiada keperluan formal untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan.
4. Tiada keperluan untuk menghantar Financial Statement kepada SSM.
5. Akaun tidak perlu diaudit.